Kepada Hishammuddin Hussein dan Menteri-Menteri MELAYU:

KUASA ADALAH IBARAT SEBILAH PEDANG. JIKA IA SEKADAR DIGILAP, DIPERASAP, DISARUNGKAN DAN DIGANTUNG DI DINDING, BERAPA BANYAK PEDANG PUN YANG ADA, TIADA GUNANYA. TETAPI JIKA SEKALI SEKALA DIGUNAKAN, BIARPUN HANYA UNTUK MEMOTONG SEBIJI MANGGA, MAKA AKAN DIKETAHUILAH TAJAM TUMPULNYA.

Wednesday, July 1, 2009

Tak hairan jika Pas menang Manek Urai

Pada hari Isnin 20 hb Mac 1995 ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis Pemimpin Bersama Rakyat di padang Sekolah Kebangsaan Perempuan Pasir Puteh, Kelantan, telah berkata bahawa Pas hanya menyubur dan menonjolkan imej Islam palsu kerana di kalangan kepimpinannya penuh perbuatan menyeleweng, jahil atau menyembunyikan fakta sejarah dan kebenaran.

Kata Anwar, pemimpin Pas juga mempersendakan ayat al-Quran dan hukum, suka memaki hamun tetapi tidak pernah mengemukakan cadangan bernas, tidak pernah serius memperjuangkan nasib rakyat, malah sebaliknya menindas serta memesongkan akidah mereka.

Pemimpin Pas turut mendorong pecah-belah dan persengketaan, menanam perasaan benci kepada orang lain bukan kelompok mereka serta fanatik, kata Anwar lagi.

"Pas di atas nama Islam mereka menanam kebencian, menyuburkan sikap fanatik dan taksub. Bagi mereka, apa yang betul yang dibuat pemimpin mereka itu memang betul tetapi yang salah pun dikatakan betul juga.

"Pemimpin Pas memainkan ayat al-Quran dan pada masa yang sama memaki hamun orang lain. Atas nama Islam, Pas menonjolkan pemimpin yang akhlaknya rendah. Atas nama Islam orang yang tidak berilmu diberikan penghormatan. Atas nama Islam, ulama yang sebenarnya diketepi dan diperkecilkan.

"Semua didorong oleh rasa dengki dan khianat yang berlebihan," katanya di hadapan lebih 10,000 orang yang hadir dalam perjumpaan itu. Turut hadir ketika itu ialah Pengerusi BN Negeri Kelantan ketika itu, Datuk Annuar Musa; Datuk Mustaffa Mohamed; Datuk Dr Yusof Nor dan Ketua Umno bahagian Pasir Puteh, Kamarudin Mohd Nor.

Anwar berkata, kepemimpinan Umno dan BN dibuktikan melalui kesungguhan dan landasan perjuangan berasaskan Islam sebenar sedangkan pemimpin Pas langsung tidak menggunakan kebijaksanaan serta pendekatan yang dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat dalam menyebarkan syariat Islam. Umno bukan setakat membela dan meninggikan syariat Islam dalam negara malah membela umat Islam di seluruh dunia.

Demikian lah kata-kata Anwar ketika itu.

Begitulah tindak tanduk penyokong Pas yang semakin ekstrem kerana ketaksuban kepada pemimpin seperti Nik Aziz Nik Mat. Ketaksuban mereka ini perlu dihalang sebelum ia boleh membawa kemudaratan paling besar kepada masyarakat dan agama Islam. Sudah jelas tindakan Pas kini berada pada satu peringkat yang boleh membangkitkan sentimen rakyat dan menimbulkan kacau bilau di negara ini.

Puncanya kerana masih ramai rakyat, terutama pengikut Pas yang terlalu taksub kepada parti itu sehingga apa saja kata pemimpin mereka, mereka menerima bulat-bulat. Apa yang menghairankan, pengikut Pas boleh menerima dakwaan sesiapa yang tidak menyokong Pas tidak akan masuk syurga. Mereka tidak berfikir panjang apakah benar atau salah dakwaan itu.

Ketika ini Islam di negara ini seolah-olah dimonopoli oleh Pas dengan bermacam-macam hujah dan tuduhan kononnya perjuangan Umno dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan bercanggah dengan ajaran Islam. Pas hanya memperjuangkan Islam pada nama saja sedangkan akhlak pengikut dan pemimpin mereka sendiri jauh daripada kehendak Islam sebenar.


Disebabkan kepentingan parti lebih besar untuk memenangi pilihan raya kerosakan itu tetap diteruskan juga.

Apa gunanya bercakap memperjuangkan Islam jika otak dan poket kita kosong? Apa gunanya bercakap soal persaudaraan Islam jika kita sekadar menggigit jari melihat umat Islam diseksa, dibunuh dan dirogol? Kita harus keluar dari kepompong yang membelenggu fikiran dan jiwa kita.

Kita mesti berhenti meneropong melalui lubang tempurung dan mencari-cari kesalahan orang lain kerana mahu menyembunyikan kelemahan diri sendiri.

Pas bukan parti Islam tetapi parti politik yang berjuang untuk mencari kuasa politik dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Sebagai parti politik Pas juga tidak boleh lari daripada mengatur strateginya sendiri. Antara strategi Pas ialah menggunakan Islam untuk mencari kesalahan Umno walaupun Umno lebih banyak melaksanakan program meningkatkan martabat dan akidah umat Islam lebih banyak dilakukan oleh Umno daripada Pas.

Sebenarnya, kelulusan yang diberikan oleh Kerajaan British kepada sebuah parti Melayu untuk menggunakan perkataan "Islam" untuk mewujudkan sebuah parti alternatif kepada Umno dengan tujuan memecah belahkan bangsa Melayu yang giat menuntut kemerdekaan. Sejak itu, wujud budaya perkauman dalam satu bangsa sehingga timbul isu kafir mengkafir, tidak Islam dan munafik yang dilemparkan oleh Pas terhadap bangsa Melayu yang tidak menyokong perjuangannya.

Pengikut Pas yang terkenal kerana taksub kepada parti dan pemimpin sememangnya sukar dikawal perasaan mereka berbanding pengikut Umno. Pekerja Pas sanggup bermandi embun dan peluh tanpa sebarang bayaran, tetapi pekerja Umno mesti dibayar duit minyak, duit kopi dan upah memasang poster. Jadi, di antara komitmen kerana semangat dan komitmen kerana ada habuan, tentulah komitmen kerana semangat yang sukar dikawal.

Pilihan raya bukanlah pesta mencaci mencerca. Pilihanraya kecil adalah untuk pengundi Manek Urai memilih wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri Kelantan. Jadi apakah faedahnya dikerahkan penyokong dan ahli parti dari negeri-negeri lain menyewa bas, van dan kereta untuk berkubu di masjid dan surau di Manek Urai?

Kepada penyokong Pas dari luar Manek Urai, usahlah berbelanja banyak untuk menyewa bas, van dan kereta, dan meninggalkan kebun getah, kelapa sawit, ladang dan laut, semata-mata untuk berkumpul di Manek Urai bagi menunjukkan sokongan besar. Tidak ada faedahnya dikerah penyokong dan ahli parti dari negeri lain meramaikan pilihan raya kecil Manek Urai, kerana yang berhak mengundi cuma pengundi kawasan itu saja.

Tiada gunanya ceramah dan kempen dihadiri oleh ribuan pendengar jika pengundi tempatan cuma ratusan saja? Kemenangan bukannya terletak kepada berapa ribu pendengar yang mengikuti ceramah, berapa banyak poster yang boleh dipasang atau berapa kuat penyokong boleh bertepuk. Yang berhak menentukan siapa yang menang hanyalah 12,292 pengundi Manek Urai.

Malah, jika Pas menang pun dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, kemenangan itu hanya disebabkan parti itu berjaya mempengaruhi pengundi dengan isu agama. Isu itu sudah terlalu lama digunakan ketika menentang Umno dalam semua pilihan raya umum.

Pemimpin Pas yang taksub seperti Nik Aziz berjaya menanam semangat dan kefahaman keagamaan di kalangan pengundi ketika kempen pilihan raya kecil menyebabkan ada yang terpengaruh dengan apa yang dikatakan oleh pemimpin Pas itu. malah, ada penyokong Pas yang taksub dan fanatik menganggap Pas itu agama dan agama itu adalah Pas.

Sinonimnya Melayu-Islam itu sebagai satu kekuatan bangsa Melayu berbanding bangsa-bangsa lain yang beragama Islam. Kerana akarnya Islam, bangsa Melayu tidak goyang keimanan dan ketakwaannya walaupun negara menikmati kemajuan. Malah semakin negara berkembang maju semakin ghairah pula orang Umno bercakap soal Islam.

Pas dan Nik Aziz sedar ia tidak mampu memberikan wawasan dan menyumbang kepada umat ke arah yang diharapkan oleh al-Quran, iaitu supaya Islam menyempurnakan tamadun global ini. Sejarah belum berakhir selagi Islam belum menyelesaikan fungsinya di buana ini melalui umat Islam.

Nik Aziz yang arif mengenai al-Quran tidak layak mengelirukan rakyat Kelantan dengan fahaman jabariyah. Jika kita tidak memiliki jawapan bagaimana memajukan umat Islam dan gagal menemui bagaimana umat gemilang boleh diusahakan melalui Pas, janganlah Pas mendustai agama dengan berselindung di sebalik kenyataan yang mengelirukan.

Perkembangan terbaru hari ini ialah Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hasan Tantawi enyerahkan surat jemputan wacana ilmiah terbuka bertajuk ''Benarkah Perjuangan Umno Tidak Bertentangan Dengan Islam'' kepada Pemuda Umno yang diterima oleh Naib Ketuanya Datuk Razali Ibrahim di lobi Parlimen. Ini adalah langkah permulaan dalam merapatkan semula kerenggangan yang berlaku di antara Melayu Pas dan Melayu Umno.


REMINDER:

Any constructive criticism and comment that would contribute to fair, frank and informed discussion on this posting to help achieve our national objective will be most appreciated. We need to have more open exchange of ideas on this sensitive but important subject in the context of the national vision and security.

No comments: