Ketika search dalam laman web dan blog untuk membaca berita-berita yang disiarkan masa kini dan masa lalu, Lebai terjumpa tulisan yang menarik untuk dibaca dan diulang cetak sekali lagi, supaya kita tidak lupa pada peristiwa yang berlaku sebelum ini. Kisahnya ditulis oleh wartawan/penulis terkenal masa kini yang juga pembicara politik yang Lebai anggap bagaikan guru. Kupasan Datuk A Kadir Jasin kebanyakannya bernas belaka.
Di sini Lebai petik semula tulisan beliau mengenai isu pemecatan Anwar Ibrahim pada September 1998.
Tajuk: Mengapa Dr Mahathir pecat `ayam didik'
Apabila Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pemerintahan negara pada 16 Julai1981, beliau membawa bersamanya dinamisme seorang pemimpin akar-umbi dan memberi nafas baru kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Walaupun DEB lahir dan bertapak pada zaman Tun Abdul Razak, umum mengakui falsafah dan matlamatnya banyak dipengaruhi oleh pemikiran Dr Mahathir seperti yang terkandung dalam buku Dilema Melayu.
Dr Mahathir menyuntik dinamisme, reformasi dan wawasan ke dalam dasar itu dengan memberikannya pentakrifan dan pendekatan baru. Beliau melakukan anjakan di dalam pelaksanaannya.
Ini tidak sukar dilakukan kerana beliau faham secara mendalam titik-tolak dasar itu.
Bagi membolehkan dasar itu berjalan lancar dan reformasi ekonomi berjaya, Dr Mahathir memerlukan kestabilan politik.
Pas yang dipecat daripada Barisan Nasional (BN) pada 1977 semakin mengancam dan kejayaan Revolusi Iran pada 1980 memberikan parti itu semangat baru.
Untuk menyekat pengaruh Pas, Dr Mahathir perlu memperkukuhkan kepemimpinan Islam dalam Umno. Walaupun beliau sendiri faham isu agama dan fasih mengenai pemikiran Islam, Dr Mahathir mahu Umno dan kerajaan dianggotai lebih banyak pemimpin dan cendekiawan Islam berwibawa.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan terbilang sebagai penggerak massa dikatakan sedang membuat pertimbangan untuk memasuki politik secara cergas. Pilihan terbuka kepada beliau sama ada menyertai Umno atau Pas.
Kejayaan Dr Mahathir menarik beliau menyertai Umno hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya umum 1982 disifatkan oleh pemerhati dan pengulas politik sebagai political coup (rampasan kuasa politik) yang besar.
Ganjaran kemasukan Anwar ke dalam Umno adalah besar, risikonya juga tinggi. Sejak awal, Dr Mahathir terpaksa mempertahankan keputusannya membawa masuk Anwar ke dalam Umno. Banyak pihak kurang senang dengan kemasukannya.
Mereka bimbang dan curiga dengan latar belakangnya sebagai penentang kerajaan dan cara beliau dibawa masuk ke dalam parti. Tidak kurang pula yang melihat Anwar sebagai saingan.
Belum pun berita kemasukan Anwar tersebar, Dr Mahathir sudah ditekan oleh wartawan yang menghadiri sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri pada 29 Mac, 1982 supaya memberi bukti bahawa Anwar sejak sekian lama menjadi `ahli tidak rasmi' parti itu.
Pada sidang akhbar itulah Dr Mahathir memperkenalkan `Saudara' Anwar yang ketika itu berusia 35 tahun sebagai ahli terbaru Umno.
Beliau juga ditanya apakah keistimewaan Anwar sehingga berita kemasukannya ke dalam Umno diumumkan di Jabatan Perdana Menteri dan tidak di Ibu Pejabat Umno.
Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah. Anwar menang Pilihan Raya Umum 22 April 1982 di Permatang Pauh, Pulau Pinang, dengan menjatuhkan Ahli Parlimen Pas, Zabidi Ali dengan kelebihan undi yang besar.
"Anak ayam yang baru tumbuh bulu pahat sudah boleh berlari. Pilihan kita tepat," kata Dr Mahathir mengulas kemenangan Anwar.
Dr Mahathir segera melantiknya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sekali gus meletakkan Anwar sebagai `ayam didik' Perdana Menteri.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Ibrahim Ali, dalam temu bualnya dengan penulis Joceline Tan dalam New Sunday Times semalam berkata Anwar`ditatang macam anak raja' oleh Dr Mahathir.
Ibrahim, yang sama-sama memimpin pergerakan pelajar pada zaman revolusi kampus awal tahun 70-an, muncul sebagai pengkritik Anwar yang paling lantang dalam mesyuarat MT yang memecat Anwar daripada parti pada 3 September.
Daripada Timbalan Menteri, Anwar naik sepantas kilat menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan dan Menteri Kewangan.
Tiap kali beliau dinaikkan pangkat oleh Dr Mahathir, setiap kali pula pemimpin lain Umno berasa terpinggir. Sesetengahnya tidak menyembunyikan kemarahan mereka terhadap Dr Mahathir.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa Dr Mahathir kehilangan banyak kawan dan penyokong dalam Umno kerana beliau dianggap terlalu taksub menyokong dan menaikkan Anwar.
Antaranya ialah Tan Sri Musa Hitam yang pernah menjadi timbalan Dr Mahathir dalam kerajaan dan parti, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan beberapa lagi.
Lagipun tidak semua tindakan Anwar dalam Umno dan kerajaan mendapat restu Dr Mahathir. Contoh terbaik kesediaan Anwar bertindak di luar kehendak ketua ialah apabila dia melancarkan cabaran terhadap Tun Ghafar Baba dalam pemilihan parti 1993 dan menubuhkan apa yang dipanggil `Team Wawasan'.
Apabila Dr Mahathir menyedari political manoeuvering atau muslihat politik Anwar, kedudukan Ghafar tidak boleh diselamatkan lagi dan beliau dinasihatkan menarik diri.
Nasihat Dr Mahathir supaya tidak ditubuhkan team atau pasukan untuk bertanding jawatan parti juga tidak dihiraukan atas alasan mereka lebih faham pemikiran Presiden parti dan apa yang mereka lakukan kononnya `untuk kebaikan agama, bangsa dan negara'.
Dalam erti kata yang lain, mereka berpadukan falsafah Barat iaitu matlamat menghalalkan cara, walaupun cara yang diamalkan itu tidak baik dan tidak sopan.
Selain Anwar, pendukung utama `Team Wawasan' ialah Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut memenangi jawatan Naib Presiden ialah Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tidak lama selepas itu, Rahim tersingkir daripada jawatan Ketua Pemuda akibat tuduhan terbabit dalam kegiatan seks dengan gadis bawah umur. Beliau tidak dihadapkan ke mahkamah tetapi Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, berkata penyiasatan polis menimbulkan keraguan terhadap kelakuan beliau. Anwar turut mendalangi kejatuhan Rahim.
Turut tersingkir daripada jawatan ialah Muhammad yang ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah di Australia kerana gagal mengisytiharkan sejumlah besar wang ketika cuba meninggalkan negara itu. Beliau didapati tidak bersalah tetapi pihak pendakwa raya Australia kini merayu membicarakan semula kes beliau.
Dalam pemilihan parti 1996, nama `Team Wawasan' tidak kedengaran lagi kerana Anwar sudah berada di atas dan tidak tercabar. Lagipun Dr Mahathir setia memegang tangan beliau dan diramalkan akan menyerahkan teraju kepadanya pada bila-bila masa.
Jadi mengapakah pada saat terakhir ini, ketika tidak wujud lagi kecurigaan bahawa Anwarlah bakal pengganti Dr Mahathir, maka dia tiba-tiba disingkir?
Ada yang mendakwa ia berpunca daripada perbezaan politik dan pengurusan ekonomi negara. Itulah modal Anwar dan itu jugalah yang dihebahkan keseluruh dunia oleh media massa asing.
Nyata itu bukanlah sebabnya. Dan bukan juga keingkaran Anwar. Berbeza pendapat bukan perkara baru dalam perhubungan mereka. Anwar cukup bangga memberitahu umum yang dia boleh berbeza pendapat dengan Dr Mahathir.
Malah, Dr Mahathir berkata dalam isu pengurusan ekonomi sejak kegawatan melanda setahun lalu, Anwar sudah mula mengubah pendirian dan menerima hakikat bahawa dasarnya yang mirip dasar Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) tidak berkesan.
Puncanya ialah masalah peribadi Anwar yang membabitkan salah laku seks dan beberapa perbuatan lagi yang menurut Dr Mahathir tidak melayakkan beliau menjadi pengganti.
Ini adalah tuduhan yang berat yang mustahil dibuat oleh sesiapa, khasnya Perdana Menteri, terhadap orang paling rapat dengannya tanpa bukti yang meyakinkan.
Tuduhan sebegini mustahil dibuat tanpa bukti yang kuat kerana ia bukan saja memalukan yang kena tuduh tetapi juga Umno dan kerajaan yang selama ini menjadi gelanggang politik Anwar.
Yang lebih malu ialah Dr Mahathir kerana dia bukan saja membawa Anwar masuk ke dalam Umno, tetapi selama 16 tahun membimbing dan memimpinnya sehingga mencetuskan perasaan tidak puas hati banyak pemimpin dan ahli parti.
Mustahil ia satu konspirasi atau pakatan jahat. Apatah lagi pakatan jahat di peringkat paling tinggi seperti didakwa Anwar.
Siapa yang memaksa siasatan polis terhadap surat layang Ogos, 1997? Siapa yang memaksa siasatan polis terhadap buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM?
Apabila surat layang 1997 tersebar, banyak rakan Anwar, termasuk dalam media massa, berpendapat tidak bijak membuat laporan polis kerana Anwar sendiri berkali-kali menyifatkan surat layang sebagai budaya kotor yang tidak perlu diberi tempat.
Mereka memberi amaran siasatan polis ibarat pedang dua mata. Ia boleh menjadi senjata makan tuan. Tetapi pandangan mereka sekadar pandangan kerana penasihat Anwar berpendapat keadilan dan usaha membersihkan nama bermula dengan laporan polis. Maka ADC Anwar sendiri yang membuat laporan terhadap surat layang itu.
Apabila buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM terbit Jun lalu, Anwar dan Setiausaha Sulitnya, Mohamed Azmin Ali, adalah antara dua pihak yang membuat laporan polis di samping mendapatkan perintah mahkamah menyekat penerbitan dan penjualan buku itu.
Apakah polis mempunyai pilihan selain menjalankan siasatan paling rapi kerana yang membuat laporan itu adalah orang kedua paling berkuasa di negara ini?
Kalaupun Anwar masih percaya dan mahu meyakinkan khalayaknya bahawa dia mangsa pakatan jahat, jalan terbaik merongkai kekusutan ini ialah dengan menyerahkannya kepada mahkamah.
Polis dan Pejabat Peguam Negara yang terbabit terus dengan kes ini tidak harus menunggu terlalu lama. Kekusutan yang dihadapi sekarang boleh menjadi ancaman kepada ketenteraman awam dan keselamatan negara jika tidak ditangani segera.
Jika penjelasan Perdana Menteri masih belum meyakinkan semua pihak, gerakan reformasi Anwar pun mustahil boleh meyakinkan semua pihak bahawa tuduhan terhadapnya dusta semata-mata. Apatah lagi jika agenda reformasi itu bertujuan mengalihkan pandangan umum daripada perkara pokok iaitu tuduhan terhadapnya.
Jawapan mutakhir hanya boleh dicari di mahkamah. Kalau sabit kesalahan,selesailah cerita ini.
Kalau tidak, bersihlah nama Anwar dan besar kemungkinan berakhirlah riwayat politik orang yang membuat fitnah terhadapnya.
Sumber: Berita Harian, 14 September 1998
Pada 9 September 1998, Dr Mahathir membuat kenyataan mengenai pemecatan Anwar disebabkan masalah MORAL.
Petikan daripada akhbar Harian Metro:
KUALA LUMPUR: Pelucutan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan diikuti dengan pemecatan keahliannya daripada Umno, adalah disebabkan masalah moral yang tidak melayakkannya menjadi seorang pemimpin.
Selain didakwa berkelakuan sumbang, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dituduh melakukan kegiatan yang boleh mengancam keselamatan negara,sehingga menyebabkan terpaksa dikenakan tindakan tegas terhadapnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, beliau bertindak melucutkan Anwar daripada jawatan Kabinet setelah berpuas hati dengan bukti yang diperolehi menerusi siasatan yang dilakukannya sendiri.
Berikut adalah sedutan temu bual wartawan dengan Dr Mahathir selepas majlis penerangan kepada pemimpin Umno mengenai pemecatan Anwar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
SOALAN: Adakah pemimpin Umno terima penjelasan Datuk Seri mengenai pemecatan Anwar?
JAWAPAN: Nampaknya dia orang terimalah, kerana dia orang semua berdiri untuk menyambut selepas saya buat ulasan... tak ada nampak tanda-tanda yang mereka tidak terima.
S: Adakah penjelasan tambahan selepas ini?
J: Saya harap saya tak payahlah, barangkali orang lainlah. Sebab itu saya jumpa dengan dia orang, senang sikit, saya tak larat pusing seluruh negara.
S: Anwar ulangi dakwaan ada konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkannya.
J: Saya jelaskan tadi, kenapa saya kata tak ada konspirasi (seperti didakwa).
S: Boleh Datuk Seri beritahu apa yang dijelaskan?
J: Saya cuma terangkan perkara yang berlaku, bagaimana saya akhirnya membuat keputusan, kemudian ada bahan bukti terhadap tuduhan, dan saya yakin dengan bukti itu. Selepas itu saya berpandangan dia tidak layak untuk memimpin negara, bukan kerana perselisihan pendapat, perselisihan dengan saya mengenai politik atau berhubung soal ekonomi. Sebaliknya, ia disebabkan perwatakannya tidak layak untuk menjadi pemimpin di negara seperti Malaysia.
S: Adakah Datuk Seri jelaskan secara terperinci?
J: Tidak, saya tidak menjelaskan secara terperinci. Saya memberitahu mereka bahawa saya yakin dengan bukti terhadap tuduhan itu.
S: Apa harapan selepas ini?
J: Saya harap semua orang tak keliru.
S: Kenapa bertindak (memecat Anwar) sebelum penyiasatan diselesaikan?
J: Siasatan dijalankan oleh polis. Saya melakukan siasatan sendiri dan sudah menyelesaikannya.
S: Dengan melihat reaksi ahli Umno, adakah Datuk Seri berpendapat mereka menerima penjelasan?
J: Tak tahulah, saya nampak mereka terima.
S: Adakah Anwar akan ditahan?
J: Itu bukan soal saya.
S: Siapa yang mempunyai kuasa menahan Anwar?
J: Kuasa itu ada pada orang yang bertanggungjawab terhadap undang-undang negara.
S: Boleh Datuk Seri komen reformasi yang dibangkitkan Anwar?
J: Tidak ada reformasi, ia cuma digunakan untuk mengalih perhatian daripada masalah, alasan dia dipecat.
S: Kalau polis tidak dapat bukti, adakah dia boleh balik dalam Umno?
J: Sejauh yang saya tahu, saya agak yakin dengan perkara ini, melainkan polis tahu apa-apa yang saya tak tahu. Ia amat jelas.
S: Kenapa penjelasan diadakan?
J: Kerana banyak yang keliru di peringkat bawahan, saya rasa mereka perlu diberi penjelasan, saya yakin tapi mungkin ada orang yang susah menerima penjelasan, tapi majoriti menerimanya.
S: Anwar nafi dakwaan dan daripada bukti yang Datuk Seri terima, sejak bila dia buat sumbang?
J: Sumbang ni sudah lama lah juga dia buat, tapi saya baru tahu saja. Mengenai penafiannya, Presiden Clinton pun nafi juga, siapa nak cerita dia jahat... dia buat perkara yang tidak baik.
S: Adakah Datuk Seri bercadang nak beri penjelasan kepada seluruh rakyat?
J: Saya rasa saya tak perlu jelaskan kepada seluruh rakyat, saya fikir bila tiba masa, mereka akan faham. Saya tak lakukan (pemecatan) kepada orang yang saya bawa naik. Kenapa saya perlu lakukan (tindakan) kepada dia (Anwar), saya ada ramai musuh yang saya patut lakukan kepada musuh saya.Saya tak pilih kawan saya (untuk lakukan tindakan ini), tuduhan itu sangat susah untuk dijelaskan, dan sangat susah orang ramai menerimanya. Dia sangat berwibawa dan sangat berpegang kepada agama. Dia sangat baik. Saya patut cari tuduhan lain, tapi malangnya tidak ada tuduhan lain.
Saya sedih kerana saya bercadang untuk bersara tahun ini. Saya bercuti tahun lalu (untuk) beri dia peluang memimpin negara. Kalau tidak kerana masalah ekonomi, saya sudah letak jawatan. Malangnya saya fikir saya patut meneruskan tugas supaya dapat menyalurkan pengalaman saya untuk menyelesaikan masalah ini.
S: Adakah masalah akan timbul untuk mencari pengganti bakal Perdana Menteri?
J: Kita akan cari jalan untuk mengatasi masalah pengganti supaya tidak ada kegawatan dalam parti.
S: Segelintir pemimpin Umno dilihat berada di rumah Anwar?
J: Itu hak dia orang nak pergi rumah Anwar. Dia boleh pergi atas dasar peribadi... saya tak kisah, tapi kalau orang berpendapat dia pergi atas dasar peribadi, dia berhak pergi.
S: Surat penjelasan Anwar kepada Datuk Seri didedahkan oleh Anwar kepada orang ramai.
J: Saya tak tahu, surat yang dia bagi kepada saya, saya simpan.
S: Apa komen Datuk Seri mengenai ada pihak yang sokong Datuk Seri tapi pada masa sama, pergi rumah Anwar?
J: Saya tak boleh baca apa yang ada dalam hati orang.
S: Kenapa Ketua Pemuda (Umno) tidak hadir (dalam majlis ini)?
J: Dia masuk hospital, sakit.
S: Adakah Anwar boleh pertahan diri?
J: Dia sudah diberi segala peluang untuk pertahan diri, tidak seperti orang lain yang tidak dapat peluang seperti itu. Dalam parti, kita mengenepikan banyak orang yang didapati tidak bersalah di mahkamah, seperti yang berlaku kepada beberapa pemimpin baru-baru ini. Dia lakukan sesuatu yang parti dapati tidak benar, dia didakwa di mahkamah dan didapati tidak bersalah, tapi dia belum balik kepada parti. Parti pertahankan standard, kalau kita ambil kira keputusan mahkamah saja tanpa ambil kira pendapat orang lain, kita silap. Jadi kita ambil kira pandangan umum bila kita bertindak, bukan sekadar bergantung kepada keputusan mahkamah sama ada seseorang bersalah atau tidak. Malah, kita lebih tegas daripada mahkamah.
S: Adakah Anwar dipecat kerana Datuk Seri tak puas hati dengan penjelasannya?
J: Saya puas hati dengan tindakan yang diambil, kerana saya sudah beri segala peluang untuk meletak jawatan, tapi dia pilih untuk menentang, dan dia pertahankan dia tidak bersalah.
S: Apa penjelasan Anwar kepada Datuk Seri?
J: Dia kata bohong, semuanya bohong. Ada orang yang melakukan konspirasi untuk menjatuhkannya, dia hampir paranoid.
S: Sejak bila Datuk Seri dapati Anwar tak sesuai jadi Perdana Menteri?
J: Baru ini saja, tahun lalu ada tuduhan (terhadap Anwar) tetapi saya kata ini fitnah, ini tak benar, ini sengaja orang buat nak bagi jatuh timbalan saya. Saya tolak sama sekali, saya tak baca pun (tuduhan). Tapi sekarang ini dengan kerana bukti terlangsung jelas, saya tak boleh tolak.
S: Apa ciri-ciri yang penting untuk jadi Perdana Menteri?
J: Saya tak cari orang warak atau seperti itu, saya cuma cari orang biasa yang tidak melakukan perkara yang tidak boleh diterima kebanyakan ahli parti. Kita tak boleh buat parti tidak popular.
S: Masa bincang dengan Anwar, ada tak dia mengaku salah?
J: Dia cuma mengaku setakat dia manusia biasa. Adalah benda sikit sebanyak seperti yang dibuat manusia biasa lain yang dia buat. Tapi dia menafi mengenai apa yang ada dalam tuduhan.
Saya bukan buat soal siasat, saya cuma bercakap dengan satu orang yang saya kenal saja... kawan saya. Jadi saya tak tanyalah macam itu. Tapi seperti mana yang kita tahu, dia mengadakan gimik sebagai seorang yang warak, seorang yang begitu berpegang kepada ajaran agama, boleh jadi imam, boleh berkhutbah. Jadi tak sesuailah apa yang dilakukan itu dengan imejnya.
Saya sudah tekankan, ini adalah isu moral, bukan tuduhan atau politik atau ekonomi. Saya tidak boleh biarkan ketika krisis ekonomi, ada krisis sulit di tangan saya, tapi saya tidak ada jalan mengelak daripada masalah ini ketika negara menjadi hos kepada ramai rakyat asing yang datang untuk Sukom. Ketika negara berdepan masalah ekonomi, saya tak perlukan masalah lain di tangan saya, tapi ia di luar kawalan saya yang sudah berlaku.
S: Adakah ini keputusan paling perit yang Datuk Seri pernah buat?
J: Sebenarnya saya tak tahu apa makna sakit, (kerana) saya tak ada alat untuk mengukur tahap kesakitan. Tapi ia mungkin menjadi pengalaman paling tidak selesa.
S: Ada pihak desak Zahid letak jawatan?
J: Itu dia orang punya hal.
REMINDER:
Any constructive criticism and comment that would contribute to fair, frank and informed discussion on this posting to help achieve our national objective will be most appreciated. We need to have more open exchange of ideas on this sensitive but important subject in the context of the national vision and security.
Baca-Baca
-
-
The King, his family and U2 weeks ago
-
-
-
BANGSA PENEROKA PASARAN GLOBAL8 years ago
-
-
Dua Kristian, satu Hindu lawan satu Islam14 years ago
-
-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Masalah moral/salah guna kuasa dan kes liwat secara kebetulan menjadi punca Anwar dipecat. Ada sebab lain kenapa dia dipecat!
Post a Comment