Kepada Hishammuddin Hussein dan Menteri-Menteri MELAYU:

KUASA ADALAH IBARAT SEBILAH PEDANG. JIKA IA SEKADAR DIGILAP, DIPERASAP, DISARUNGKAN DAN DIGANTUNG DI DINDING, BERAPA BANYAK PEDANG PUN YANG ADA, TIADA GUNANYA. TETAPI JIKA SEKALI SEKALA DIGUNAKAN, BIARPUN HANYA UNTUK MEMOTONG SEBIJI MANGGA, MAKA AKAN DIKETAHUILAH TAJAM TUMPULNYA.

Saturday, December 5, 2009

DSAI dari kaca mata Kasim Ahmad

By Kassim Ahmad

Walaupun sesetengah orang mungkin terperanjat dengan pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri selain keanggotaan Umno, seorang pemerhati politik Malaysia yang tajam tidak akan berasa begitu. Dari banyak segi, beliau telah menjemput nasib yang menimpa beliau.

Beliau naik begitu cepat dengan mengesampingkan beberapa tokoh yang lebih kanan daripadanya, sedangkan prestasi beliau sama ada dalam Kerajaan ataupun dalam parti tidaklah luar biasa. Ciri-ciri yang memihak kepada beliau ialah kebolehan beliau berpidato dan kepandaian beliau menunggangi arus `kebangkitan Islam'. Biarlah saya menceritakan sedikit beberapa pengalaman saya dengan beliau.


Saya tidak pernah kenal beliau dari dekat sebelum beliau menjadi anggota Kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir dalam 1983. Saya mengubah ideologi politik saya daripada sosialisme kepada Islamisme pada sekitar 1982 hingga 1986 apabila buku saya Hadis - Satu Penilaian Semula diterbitkan. Oleh yang demikian, saya mengalu-alukan kemunculan Anwar dari aliran Islam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang agak lebih terbuka.

Tetapi tidak lama kemudian, saya mengalami beberapa peristiwa yang meyakinkan saya bahawa beliau seorang petualang politik yang besar. Saya mula mengesyaki beliau apabila dalam Jun dan Julai, 1986, Abim yang menjadi pertubuhan induk beliau membuka jalan bagi pengharaman buku saya itu. Kemudian, selepas Perang Teluk, akhbar tempatan melaporkan kenyataan beliau mengatakan Presiden Saddam Hussein patut digulingkan. Kenyataan ini jelas membayangkan kehendak-kehendak London dan Washington.

Pada 1993, atas cabaran umum Tun Daim Zainuddin dua tiga tahun sebelum itu kepada cerdik pandai Melayu yang beragama Islam supaya mengadakan suatu rancangan untuk membangunkan ummah, saya mengemukakan suatu rancangan untuk menubuhkan sebuah institut, bernama Institut Ibni Sina.

Rancangan ini dikemukakan kepada beliau bukan saja untuk menyambut cabaran dan mendapat sokongan beliau. Tun Daim kemudian memanggil saya serta bertanyakan adakah, pada pendapat saya, Perdana Menteri akan bersetuju dengan rancangan itu. Saya menjawab, tidak ada sebab Perdan Menteri tidak setuju, kerana itu juga hasrat beliau. Mendengar jawapa saya, Tun Daim berkata, "Baiklah, saya akan berjumpa dengan Perdan Menteri"..

Empat hari kemudian, saya menerima balik cadangan saya dengan keterangan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrabim, yang pada ketika itu Menteri Kewangan, tidak bersetuju. Saya berasa sungguh hampa. Pada fikiran saya, Tun Daim sepatutnya memanggil saya serta membincang perkara itu semula.

Walau bagaimanapun, tiga atau empat hari kemudian saya berjumpa dengan Datuk Seri Anwar dalam suatu majlis jamuan Perhubungan Umno Pulau Pinang. Beliau memberitahu saya mengenai pertemuan dia dengan Tun Daim.

Lalu saya bertanya mengapa beliau membantah rancangan itu. Beliau menafi membantah. Tetapi saya tidak dapat berbincang panjang dengan beliau, kerana orang terlalu ramai, dan ramai yang hendak bercakap dengan beliau. Saya pun berkata, "Tidak mengapalah, Datuk Seri. Nanti kita bincang pada waktu lain," Saya tidak berbincang dengan beliau selepas itu, kerana saya tahu beliau telah mensabotaj rancangan saya.

Tiga atau empat tahun kemudian, apabila saya berjumpa dengan Tun Daim, saya bertanya kepada beliau mengapa beliau menolak rancangan Institut Ibn Sina itu atas nasihat Anwar. Jawab Tun Daim, "Anwar berkata PM tidak setuju." Syak saya yang lama pun disahkan. Memang Anwar tidak ikhlas. Dia menggunakan Perdana Menteri untuk mengesahkan apa yang dia mahu dan menghalang apa yang dia tidak mahu. Ini suatu fe'el beliau yang diketahui ramai pegawai tinggi Kerajaan.

Pada 11 Jun, 1995, saya mengetuai kira-kira 70 orang rakyat Malaysia menubuhkan Jemaah al-Quran Malaysia (JAM) dengan tujuan untuk mengajak rakyat Malaysia berpandukan ajaran al-Quran dalam kehidupan mereka. Seperti yang diketahui, sesetengah pihak berkuasa agama membantah penubuhan dan pendaftaran pertubuhan ini. Mereka juga menuduh kami `anti-hadith' dan mengecap saya `murtad'.

Namun, pada 9 Ogos, 1995 Pusat Islam menyambut saranan kami supaya mengadakan dialog. Malangnya, pada keesokannya (10 Ogos) akhbar tempatan menyiarkan kenyatan Timbalan Perdana Menteri menyatakan Kerajaan tidak akan berdialog dengan saya dan kumpulan saya. Ini bermakna Anwar telah menggunakan nama Kerajaan dan Perdana Menteri untuk menghalang penyelesaian masalah ini melalui berdialog.

Pada hari itu juga saya mengirim sepucuk surat atas nama Pengerusi Jawatankuasa Penaja JAM, mengkritik beliau, mengingatkan beliau kepada kata-kata yang menyetujui pendirian saya dari segi prinsip lima tahun dulu (dengan disaksikan oleh Ketua Umno bahagian Tanjong, bahagian yang saya anggotai, dan beberapa orang lain) serta memberi amaran kepada beliau supaya jangan berdusta dan bersikap pengkhianat. Para akhir surat saya kepada beliau berbunyi: "Saudara dulu seorang pejuang Islam yang patriotik dan anti-imperialis. Nilai-nilai keadilan dan kebenaran itu dua nilai yang amat penting bagi pejuang-pejuang Islam yang progresif. Saya harap saudara tidak mengkhianati prinsip-prinsip ini. Jika saudara menghianati, ketahuilah bahawa Tuhan Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa! Anggaplah surat ini suatu nasihat yang ikhlas daripada seorang rakyat yang berniat baik".

JAM ditubuhkan, timbul balik tuduhan `anti-hadis' oleh beberapa kalangan sehingga suasana di seluruh negara menjadi panas dan timbul desakan oleh kalangan ini supaya saya dan rakan-rakan saya ditangkap di bawah ISA. Pada waktu itu Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir tiada dalam negeri dan Datuk Seri Anwar sebagai timbalannya, yang kerap bercakap untuk menghapuskan undang-undang ISA ini, patutlah menasihati kalangan-kalangan ini supaya tidak membuat tuntutan yang tidak munasabah seperti itu.

Malangnya, pejuang hak asasi manusia (yang sekarang mahu membuat refomasi!) tidakpun mengeluarkan sepatah perkataan untuk melindungi hak asasi kami. Sehingga Perdana Menteri pulang beberapa hari kemudian serta menasihati kalangan-kalangan ini supaya tidak gopoh menghukum orang lain, barulah keadaan kembali tenteram.

Inilah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekarang mendakwa dia telah dizalimi! Selepas melalui beberapa pengalaman pahit ini dengan beliau, saya tidak percaya lagi kepada beliau. Beliau adalah seorang petualang yang amat berbahaya. Saya juga telah memperingatkan Perdana Menteri kita dua tiga kali mengenai kepetualangan Anwar Ibrahim dalam surat-surat saya kepada beliau sejak itu.

Mari kita kaji kes Anwar ini secara terperinci.

Pertama, beliau telah dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri. Mengikut Perlembagaan Malaysia, seseorang menteri Kabinet memegang jawatannya atas kesukaan Perdana Menteri. Perdana Menteri berhak melantik atau membuang mana-mana menteri. Jadi, Anwar Ibrahim tidak ada hak langsung untuk membantah.

Namun, Perdana Menteri ada memberi alasan Anwar `tidak sesuai'. Untuk orang yang berfikiran, alasan ini sudah cukup. Tidakkah kita melihat, selama sekurang-kurangnya setahun, dari tarikh ucapan Perdana Menteri kita di Hong Kong mengkritik George Soros sebagai pemusnah ekonomi negara-negara Asia Tenggara serta menganjurkan supaya perdagangan mata wang diharamkan, pendirian Anwar Ibrahim dalam hal ekonomi ini bercanggah dengan pendirian Dr Mahathir? Bolehkah dibenarkan seorang menteri, apalagi seorang menteri kanan, ingkar kepada ketuanya?

Tidakkah juga kita melihat agenda kaum imperialis Barat? Media mereka, malah pegawai-pegawai tinggi mereka, seperti Margaret Thatcher, William Cohen dan Madeline Albright, memuji-memuji Anwar serta memperleceh Mahathir. Soros sendiri berkata Mahathir "Berbahaya kepada Malaysia"! Bolehkah kita membiarkan keadaan ini berterusan? Adakah kita berpihak kepada kaum imperialis atau kepada bangsa kita?

Kedua, Anwar dipecat daripada keanggotaan Umno oleh Majlis Tertinggi kerana kerendahan moralnya. Memang kes dakwaan terhadap penulis buku 50 Dalil - Mengapa Anwar tidak boleh jadi PM kini akan dibicarakan dalam mahkamah kita. Kes ini akan membersihkan Anwar jika penulis itu didapati salah. Tetapi Majlis Tertinggi (MT) membuat keputusan bagi pihak Umno berdasarkan laporan Presidennya sendiri.

Anwar sendiri hadir dalam mesyuarat itu untuk membela dirinya, tetapi nyatalah beliau gagal meyakinkan anggota MT bahawa beliau tidak salah. Umno tentu mempunyai muslihatnya sendiri untuk bertindak tanpa menunggu keputusan mahkamah.

Mengikut kenyataan Ketua Polis Negara, Anwar sendiri mungkin didakwa di mahkamah di bawah pelbagai undang-undang.

Sekiranya, apabila kedua-dua kes ini dibicarakan di mahkamah dan Anwar didapati tidak bersalah dan tuduhan-tuduhan terhadap Anwar fitnah dan konspirasi belaka, Anwar boleh dipulih balik dalam Kerajaan dan dalam Umno. Dr Mahathir sendiri akan terpaksa meletak jawatan. Tetapi, Anwar sekarang nampaknya tidak sanggup menghadapi perbicaraan itu dan berusaha untuk menutup kes beliau dengan mempengaruhi orang ramai supaya berpihak kepada beliau. Nama yang sebenar untuk perbuatan ini ialah pemberontakan terhadap negara.

Jika Anwar dalam Kerajaan dan parti seorang yang tidak sabar menunggu gilirannya, di luar Kerajaan dan parti sekarang, beliau nampaknya lebih tidak sabar dan angkuh. Seorang yang waras akan mengambil cuti sekurang-kurangnya dua minggu atau sebulan untuk menyemak kembali kehidupannya dan memikirkan masa depannya. Bukan saja beliau tidak berbuat demikian, malah beliau terus menjadi seorang pembangkang yang penuh emosi, menukarkan rumahnya menjadi tempat perhimpunan awam, serta melancarkan suatu gerakan reformasi pula!

Seperti kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selama 16 tahun dalam parti dan 15 tahun dalam Kerajaan, apa reformasi yang beliau buat? Tidakkah beliau sedar bahawa reformasi yang patut beliau lakukan ialah reformasi terhadap dirinya sendiri? Tetapi yang lebih berbahaya, agenda reformasi ini ialah agenda kaum imperialis baru.

Barat menuntut supaya Russia dan China membuat reformasi. Makna reformasi ini ialah globalisasi, liberalisasi dan deregulasi, yakni membuka pintu negara mereka sepenuhnya kepada penjajah baru yang tidak kurang rakus dan zalim daripada penjajah lama, tetapi yang dibungkus dalam bahasa yang sedap, seperti `demokrasi', `hak asasi', `anti rasuah', `ketelusan' dan sebagainya.

Badan-badan NGO seperti Club of Rome, World Wildlife Fund (WWF), Transparency International yang mereka taja digunakan untuk penjajahan baru ini di seluruh dunia. Inikah reformasi yang dikehendaki Anwar dan pengikut-pengikutnya sekarang?

Anwar selepas dipecat sanggup membuat apa saja untuk kepentingan dirinya. Strategi dan taktiknya sekarang ialah untuk kebencian orang ramai terhadap Kerajaan, khasnya Perdana Menteri, dan dengan itu menggulingkan Kerajaan supaya ia boleh berkuasa. Beliau nampaknya tidak berminat lagi untuk mempertahankan dirinya di mahkamah, kerana, kononnya, mahkamah kita tidak dapat lagi memberi keadilan kepadanya.

Sebenarnya, Anwar telah memerangkapkan dirinya sendiri. Semasa beliau dalam parti dan Kerajaan, beliau telah merancang untuk sampai ke atas. Beliau telah meletak orang-orangnya di tempat yang strategik menggulingkan atau cuba menggulingkan mereka yang taat kepada Mahathir (lihat contoh di Kedah apabila beliau cuba menghalang pelantikan Datuk Seri Sanusi Junid sebagai Menteri Besar), membuat pakatan dengan sesetengah kalangan agama di negara kita dan dengan kuasa-kuasa luar untuk menyokong dia dan menjatuhkan Mahathir. Semua ini dia lakukan di belakang Mahathir dengan menggunakan nama Mahathir dan dengan kerap kali melafazkan "kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi" kepada Mahathir.

Inilah Anwar Ibrahim yang sebenar.

p/s: Artiel ini ditulis oleh Kasim kira-kira 10 tahun lalu/

REMINDER:

Any constructive criticism and comment that would contribute to fair, frank and informed discussion on this posting to help achieve our national objective will be most appreciated. We need to have more open exchange of ideas on this sensitive but important subject in the context of the national vision and security.

No comments: