Kepada Hishammuddin Hussein dan Menteri-Menteri MELAYU:

KUASA ADALAH IBARAT SEBILAH PEDANG. JIKA IA SEKADAR DIGILAP, DIPERASAP, DISARUNGKAN DAN DIGANTUNG DI DINDING, BERAPA BANYAK PEDANG PUN YANG ADA, TIADA GUNANYA. TETAPI JIKA SEKALI SEKALA DIGUNAKAN, BIARPUN HANYA UNTUK MEMOTONG SEBIJI MANGGA, MAKA AKAN DIKETAHUILAH TAJAM TUMPULNYA.

Tuesday, June 16, 2009

Najib, Nasharuddin sekata

Lebai terharu apabila membaca laporan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau melihat Pas ikhlas dalam cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan seperti yang disuarakan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Sehubungan itu, beliau juga tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh memberi kebaikan untuk agama, bangsa dan negara.

Najib berkata, Umno sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar dan menimbang apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh Pas.

Cadangan Abdul Hadi untuk mewujudkan kerajaan perpaduan itu disifatkan mampu untuk menyelesaikan pelbagai isu termasuk masalah politik negara secara menyeluruh.

Dalam masa yang sama juga, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa senada dengan Najib. Nasharuddin dilaporkan berkata, parti itu berpendirian terbuka untuk perbincangan mengenai perpaduan dan bukannya kerajaan perpaduan.

PAS katanya melihat ada peluang untuk memberikan cadangan-cadangan baik kepada kerajaan bagi membantu menyelesaikan kemelut politik, ekonomi dan sebagainya. PAS sentiasa membuka ruang untuk berbincang dengan sesiapa sahaja.

Beliau turut menyambut baik kenyataan Najib Razak, yang juga Pengerusi BN, yang begitu terbuka untuk menerima perbincangan kerajaan perpaduan. "Respon (kali ini) yang saya rasa pertama kali agak serius daripada Perdana Menteri, dan saya sendiri bawa balik ke Presiden parti sendiri. Saya tidak boleh cakap bagi konteks parti. Kita tidak boleh buat keputusan secara individu. Muktamar merupakan pihak berkuasa tertinggi," katanya.

Cuma Lebai berharap, Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat mengubah pendiriannya demi perpaduan orang Melayu dan Islam. Orang Melayu sejak akhir-akhir ini sudah teruk berpecah belah akibat permainan politik daripada pihak dan parti yang menggunakan demokrasi untuk kepentingan diri.

Dalam sejarah Islam, kita tentu ingat perbalahan besar yang berpunca daripada perbahasan isu-isu teologi (ilmu kalam) dan politik.

Sekadar memberi beberapa contoh bolehlah kita sebutkan perbalahan teologi yang berlaku antara mazhab kalam seperti golongan Muktazilah dan Asyariyah mengenai isu-isu seperti qada dan qadar, sifat dan fungsi kebebasan dan ikhtiar manusia, hakikat sebenar sifat-sifat Tuhan, hubungan antara Pencipta dan alam ciptaan-Nya dan isu wahyu dalam hubungannya dengan akal manusia.

Perbalahan teologi ini bagaimanapun tidak terbatas kepada ulama kalam saja. Pemerintah dan pihak yang menjadi pembangkang politik turut terheret ke dalam kancah perbalahan kerana masing-masing memihak kepada pendirian teologi yang dikira selaras dengan kepentingan politiknya.

Dalam sejarah Islam pergolakan politik amat sukar dipisahkan daripada pergolakan keagamaan yang berpunca daripada pertentangan teologi. Betapa seringnya kita bertemu dengan keadaan kepercayaan dan pendirian teologi diperalatkan untuk kepentingan politik sama ada oleh pemerintah atau penentangnya.

Lebai berpendapat, Mursyidul Am Pas itu berpendirian teologi.

Sebagai seorang Tok Guru yang mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan dalam ilmu kalam, mungkin Nik Aziz menentang 'kerajaan perpaduan demi perpaduan Melayu' dari sudut ilmu kalam. Amat sukar hendak dipercayai beliau tidak berminat untuk menyelesaikan masalah di kalangan orang Melayu Islam.

Nik Aziz sebenarnya dikenali sebagai orang yang suka membantu orang dalam kesusahan. Lebai tidak fikir Nik Aziz mahu orang Melayu hidup dalam kemiskinan dan berpecah-belah. Beliau mungkin semata-mata terdorong untuk membuat satu kenyataan teologi yang tidak dapat dinafikan kebenarannya sekiranya dilihat dari sudut teologi.

Nik Aziz adalah Mursyidul Am Pas, iaitu parti pembangkang yang menjadi seteru politik Umno - tulang belakang Kerajaan Persekutuan dan berfungsi besar merumuskan dasar membasmi kemiskinan. Nik Aziz juga Menteri Besar Pas yang memerintah sebuah negeri yang majoriti penduduknya orang Melayu. Di negeri ini juga berlakunya pertarungan paling sengit di antara kedua-dua parti untuk berebut pengaruh dan memenangi hati orang Melayu.

Justeru, Lebai berharap sangat dan meminta Tok Guru Nik Aziz mengubah sedikit pendirian itu demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

Jika menganggap Umno dan BN itu teruk sangat sekalipun, Lebai berpendapat adalah lebih baik Pas bekerjasama dengan Umno daripada menyokong DAP, demi kepentingan Melayu. DAP tidak pernah mengiktiraf ketuanan Melayu. Ini terbukti melalui pendirian Ketua Menteri Pulau
Pinang ketika menjadi Ahli Parlimen Kota Melaka dulu.

Mengikut rekod Dewan Rakyat, pada 5 Mac 1990, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen DAP dari Kota Melaka, sewaktu membahaskan usul Titah Ucapan Diraja pada sidang Parlimen, mengeluarkan satu ungkapan seperti berikut:

"Parti DAP menolak sama sekali konsep ketuanan sesuatu kaum atau suku kaum sebagai lunas menggubal dasar-dasar sosio ekonomi, pendidikan dan kebudayaan kebangsaan. Dasar-dasar ketuanan atau `dominancy' kaum sebegini bukan sahaja akan menghindari usaha mencapai perpaduan kebangsaan, tetapi membuktikan ia mungkin tidak boleh dicapai langsung dalam masyarakat berbilang kaum kita...Justeru itu, parti DAP menolak konsep dominasi Melayu, Cina atau India."

Justeru, kenyataan Najib dan Nasharuddin hari ini yang dengan nada yang sama iaitu boleh dan bersedia mengadakan perbincangan bagi mengeratkan perpaduan Melayu adalah tanda baik kepada agama, bangsa dan negara. Ini bermakna kedua-dua pihak, bersedia mewujudkan satu asas persefahaman yang mantap, kukuh dan berkesan bagi menjamin kegemilangan bangsa Melayu.

Dengan ini, dapatlah kita katakan bahawa kedua-dua parti itu kini sudah sepakat untuk berusaha mewujudkan suasana yang dapat memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Lagipun, Pas bukannya asing tetapi lahir daripada Umno. Perbincangan dan usaha perpaduan antara Umno dan Pas juga bukan baru, tetapi sudah pernah berlaku sebelum ini. Namun, ia gagal kerana ada pihak yang tidak mahu Umno-Pas bersatu, hingga usaha itu terhalang.

Lebai juga yakin, kali ini pihak-pihak berkepentingan akan berusaha menghalang kerjasama perpaduan yang dirancang antara Umno dan Pas kerana bimbang hilang pengaruh. Puak-puak ini akan membangkitkan bermacam-macam isu supaya perpaduan Umno-Pas demi Melayu terhalang. Isu-isu berkenaan akan ditimbulkan dalam forum-forum terbuka. Ia akan menjadi polemik terbuka yang turut melibatkan orang ramai.

Keadaan itu boleh dielakkan jika pemimpin kedua-dua parti dan badan induk masing-masing bersikap jujur dan ikhlas dalam memperjuangkan kepentingan Melayu yang mereka wakili. Yang penting ialah kedua-dua pihak tidak bertindak melulu hanya untuk menangkis dakyah lawan dan mengorbankan persefahaman yang wujud sekian lama.

Jika berhadapan dengan sebarang kesulitan, mereka sepatutnya sedia berbincang untuk mencari jalan penyelesaian yang boleh memuaskan semua pihak. Dalam memupuk persefahaman, sama ada pada peringkat parti atau masyarakat, kedua-dua pihak hendaklah cuba mengelak daripada mengeluar atau menonjolkan sebarang kenyataan yang boleh menyinggung pihak lain.

Lebai akui bahawa usaha mengeratkan kerjasama kedua-dua pertubuhan itu amat penting dilakukan segera bagi mengekalkan kestabilan dan kemajuan negara serta perpaduan rakyat. Ini kerana Umno dan Pas masing-masing mewakili dua kelompok Melayu yang bukan sahaja mengamalkan nilai budaya tersendiri, malah sama pegangan agama iaitu Islam.

Pas mesti sedar walaupun kerajaan sudah melaksanakan pelbagai rancangan untuk meningkatkan kedudukan ekonomi orang Melayu, pencapaian dan perubahan yang diharapkan masih belum memuaskan. Majoriti orang Melayu masih lagi tinggal di kawasan luar bandar yang bergiat di bidang pertanian manakala kaum lain lebih bertumpu ke bandar dan bergiat dalam kegiatan perniagaan serta perdagangan. Jurang di antara kaum masih ada. Malah, dalam beberapa keadaan, ia semakin renggang.

Lebai percaya kepada perpaduan sebagai asas kekuatan. Ketika mahu mencapai kemerdekaan, orang Melayu tidak ada asas kekuatan yang lain. Kita tidak ada tentera sendiri, kita tidak ada cendekiawan seperti sekarang ini. Kita cuma ada perpaduan dan dengan perpaduan itulah kita mencapai kemerdekaan.

REMINDER:

Any constructive criticism and comment that would contribute to fair, frank and informed discussion on this posting to help achieve our national objective will be most appreciated. We need to have more open exchange of ideas on this sensitive but important subject in the context of the national vision and security.

1 comment:

cinta perpaduan said...

Orang Islam wajib bersatu padu kerana kita adalah bersaudara. Malangnya nafsu untuk berkuasa, dendam, menyebabkab mereka lupa kepada ajaran Islam tetapi lebih mementingkan kepentingan politik semata-mata. Lebih mendukacitakan sesama Islam dicaci, dimaki tetapi dengan orang kafir harbi yang menentang Islam boleh pula bersahabat tanpa sebarang syarat.

Marilah kita berdoa semoga pemimpin umno dan pas dibukakan pintu hati mereka oleh ALLAH SWT untuk memulakan perpaduan di kalangan orang Islam.